Followers

Monday, December 21, 2015

PUISI TANGAN-TANGAN PUTIH

PUISI INI ISTIMEWA DIDEDIKASIKAN BUAT SEMUA DOKTOR, JURURAWAT, DAN KAKITANGAN KESIHATAN.


Terima kasih berkalung budi. Semoga hidup kalian sentiasa diberkati.
(Puisi Tangan-tangan Putih, New Sabah Times 13122015)
Jun Sharif@ Jun Irnanis

Monday, March 24, 2014


Aku Si Bunga 
Jun Shariff
0725/250314

Friday, March 21, 2014

Doa Buat MH370
Nukilan : Jun Shariff / Jun Irnanis


Doa Buat MH370 .. Sepertinya sajak baba Khairul Abdullah dalam Antologi Puisi Kepada Sahabat 2013 ini mengisahkan MH370.. kebetulan makna.



Saturday, September 21, 2013

Cerpen Cinta Hakimi (Hadiah Penghargaan SEDCO-BAHASA & NST 2012)

CERPEN CINTA HAKIMI
OLEH : JUN IRNANIS

 “BABA, baba dah balik!” Jerit Haikal, anak bongsu Hakimi yang menerpanya, ketika dia baharu sahaja keluar dari pintu kereta. Haikal yang baharu berusia empat tahun terlompat-lompat minta diangkat, dan seperti selalu Hakimi mencium pipi anak kecilnya itu sambil menarik hidung Haikal.
“Zakirah mana ma?” Tanya Hakimi pada Zulaiha sebaik sahaja Zulaiha mencium tangannya.
“Ada di bilik ba, baru siap mandi. Ba marilah minum. Ma ada buatkan karipap daging.” Kata Zulaiha selembut mungkin.
Bagi Hakimi, Zulaiha adalah isteri yang menyenangkan dan membahagiakan. Malah suka berdikari dan sentiasa bersyukur dengan kehidupan yang mereka nikmati. Zulaiha tidak pernah merungut dan selalu cuba menghiburkan hati suaminya. Apa yang menarik Hakimi, Zulaiha selalu meluahkan rasa hatinya pada Hakimi melalui kata-kata puisi yang indah. Zulaiha selalu menitipkan kad puisi kecil buatnya di atas jambangan bunga yang terletak di atas meja kerjanya di rumah.
Pagi itu, entah mengapa Hakimi tersenyum membaca puisi yang ditulis Zulaiha buatnya.

Bagai jauhari mengenal manikam,
Kubelai wajah tidurmu,
            Seakan tak puas menyayangi,
            Segenap kata hati, segenap nafas diri,
            Akan kugagahi segenap kudrat ini,
            Menemanimu di sisiku.

Hakimi merenung puisi istimewa itu dan mendakapnya.


***

Di pejabat, Hakimi memikul tanggungjawab besar dan amanah syarikatnya. Kewibawaannya terserlah dan disenangi para pekerjanya. Dia juga begitu dihormati. Setelah lama duduk di kerusinya, Hakimi merenung fail di mejanya satu persatu, tetapi tidak lama kemudian pintu biliknya diketuk.
 “Masuk!” Kata Hakimi sambil terus pura-pura menyemak kerjanya.
“Selamat pagi encik.” Kata suara lunak yang sudah pun berdiri di hadapan mejanya.
“Ya assalamualaikum dan selamat pagi. Sila…” Hakimi terkaku seketika bila mendongak melihat seorang gadis cantik ayu, putih mulus tersenyum manis kepadanya. Berdetak sejenak jantung Hakimi. Namun tolak campur perkiraan, akhirnya dia sampai pada kesimpulan bahawa keimanan perlu dipertahankan.
“Nama saya Arina” Gadis itu memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangan hendak bersalaman dan setelah berbual panjang, tahulah Hakimi gadis itu adalah pekerja baharu yang  ditempatkan di syarikat tempatnya bekerja itu. Arina masih muda dan baharu sahaja menamatkan pengajian dalam jurusan komunikasi di salah sebuah universiti tempatan. Tubuhnya langsing dan lenggoknya memukau. Tutur katanya pula lunak manja membuatkan sesiapa sahaja mudah terpikat dan tertarik kepadanya.


***

Pagi itu, seperti biasa Zulaiha menghadiahkan Hakimi sebuah puisi yang luhur dari hati Zulaiha buat suami tercinta.

Insan bernama suami,
Warnai hidup, batasi hidup,
Susuri titian yang Haq,
Aku hanya pendamping,
penghias hidupmu,
yang menjadi tongkatmu,
dalam meniti hidup,
Selagi terdaya
Mengikut takdir Ilahi.

“Jalan baik-baik baba.” Haikal yang masih kecil menitip pesan. Hakimi tersenyum menyentuh pipi Haikal sambil menarik hidung kecilnya. Zulaiha dan si comel Zakirah mencium tangan Hakimi.
            Setelah meredah perjalanan pagi dan jalan raya yang mulai sesak, Hakimi akhirnya sampai di hadapan pejabatnya. Dia bergegas keluar daripada perut keretanya. Ketika hendak  memasuki ruang pejabat, Hakimi terkilas Arina sedang menongkat dagu.
“Pagi-pagi lagi menongkat dagu? Kenapa awak Arina?” Tanya Hakimi perihatin.
“Arina sakit kepala abang Hakimi. Perut pun lapar.” jelas Arina dengan gaya lesu manja. Apakah itu perangkap atau suatu godaan memancing rasa simpati, Hakimi tidak tahu, tetapi yang pasti perasaan simpati mula berputik di hatinya.
 “Marilah masuk ke bilik saya. Saya ada bawakan sarapan.” Kata Hakimi ikhlas mempelawa.
Setelah masuk di pejabat Hakimi duduk di sofa sambil menghidangkan makanan yang dibekalkan isterinya kepada Arina. Arina yang duduk di sebelah Hakimi sesekali mengeluarkan rengekan sakit manja.
“Abang, Arina nak tidur sekejap di sofa ni. Kepala Arina masih peninglah.” Kata Arina sambil merengek sakit. Entah kenapa, Hakimi tidak membantah, sebaliknya hanya mengangguk mengiyakan.
Hakimi kemudian menyibukkan diri menyemak fail-fail yang diletakkan di atas mejanya, tetapi rengekan sakit manja Arina membuatkan Hakimi mengalihkan perhatian kepada Arina yang sedang tidur di atas sofa.  Bergetar hati lelaki Hakimi melihat tubuh Arina. Dari mana arah bayu menerpa lembut, membisik rasa berbatuan.
Arina semakin berani merapati Hakimi. Hakimi pula tidak berdaya menahan gejolak godaan itu. Selepas waktu pejabat, dia berhubung dengan Arina di alam maya melalui emel. Pada mulanya, Hakimi hanya melayan Arina atas dasar simpati, membantunya menghadapi pelbagai masalah yang dihadapinya, tempatnya mencurahkan perasaan dan berkongsi kisah hidupnya yang kekurangan kasih sayang ibu dan ayah.
Tetapi lama kelamaan Hakimi dapat merasakan, Arina semakin mengharap dan ingin berkongsi kasih Hakimi. Secara berterus terang Arina memberitahunya bahawa dia tidak kisah menjadi isteri ke dua. Bagi Arina, apa yang penting dia mempunyai tempat menumpang kasih dan keperluan hidupnya terjamin. Arina hanya menginginkan lelaki yang matang dan berkemampuan.
Akhirnya, lahar hati Hakimi meronta untuk mengasihi lebih daripada yang sepatutnya. Lelaki mana yang tidak bangga mempunyai isteri muda, manja dan rupawan. Hakimi sering keluar bersama Arina. Di rumah pula, Hakimi sentiasa sibuk di meja kerjanya menghadap komputer melayari emel bersembang dengan Arina.
“Baba, baba belum cium dan tarik hidung Haikallah.” Kata Haikal anak manjanya.
“Tidur sajalah, baba banyak kerja ni.” Kata Hakimi yang sibuk melayani sembang emel bersama Arina. Haikal berlari menangis ke arah ibunya.
“Ba kenapa ni..Haikal tu. Sejak akhir-akhir ni sikap ba berubah terhadap ma dan anak-anak.” Kata Zulaiha meluahkan perasaannya.
Hakimi naik angin dan membentak Zulaiha, tapi Zulaiha hanya mampu berdoa dan bersabar.

            Cinta itu memendam telapaknya,
            Menahan kegetiran, meniti pasrahnya,
            Cinta itu berlabuh rindu, beralun syahdu,
            Sering membatasi ilusi dan realiti.

Begitulah bait puisi Zulaiha yang dititipkan pada Hakimi pagi itu. Namun, Hakimi tidak mengendahkannya. Baginya cinta Arina lebih agung dan sudah terperangkap dalam tubuh dan perasaannya. Malah, Hakimi sanggup merentasi benua berliku, sekalipun gelora hati sang pencinta silau dalam keremangan lompang cintanya.


***

Zulaiha tunduk mengopek satu persatu kelopak perjalanan rumahtanggganya bersama Hakimi. Di mana gersangnya? Di mana tandusnya? Sehingga diukir tompokan hitam. Gempita ini pasti membuatkan jantung Zulaiha bagai tersepit di lubuk, nafas sesak meruntun.   Walau merindui saat dahulu, Zulaiha gagahi kekuatan hatinya di sebalik kepedihan, di sebalik kekecewaan. Zulaiha melihat wajah Zakirah dan Haikal yang sedang lena tidur.
“Apa dosa ma ba..”bisik hati Zulaiha menahan sebak.
Zulaiha merenung ruang yang kosong.
“Terserah ma. Pergilah.” Kata Hakimi tanpa rasa kesal.
Itulah kata-kata akhir Hakimi sebelum Zulaiha meninggalkan rumah bersama anak-anaknya yang masih tidak mengerti akan perjalanan kehidupan yang mendatang.

***

            Kasih Hakimi sudah beralih pada Arina. Saban waktu Hakimi melayani Arina penuh kemanjaan.
“Abang, tolong zipkan baju sayang.”
“Abang, tolong belikan barang dapur. Sayang letihlah.”
“Abang, ambilkan sayang air. Sayang takutlah pergi dapur tengah-tengah malam
ni.”
“Abang, sayang peninglah. Tak larat masak.”
“Abang, urutkan kaki sayang ni. Sakitlah.”
“Abang, alat solek sayang habislah. Temankan sayang membeli belah dan macam-macam lagi...”
Hakimi mendodoi dan melayan manja Arina. Jauh berbeza dengan sikap Zulaiha yang sabar, berdikari dan tidak pernah merungut setiap kali berasa letih walaupun ketika mengandung.

***
Tiba-tiba Hakimi terkenangkan Zulaiha dan anak-anak.
“Zulaiha! Ya Zulaiha. Zakirah, Haikal..bagaimana mereka?” hati Hakimi berdetak. Kenangan dan kerinduan bersama Zulaiha dan anak-anaknya membelengu keinsafan tak sudah di hati Hakimi.  Hakimi seakan tersungkur pada kebodohan dan kebutaan hatinya. Mampukah lagi dia mengorak suratan?
Hakimi menyesal. Tetapi sesalan itu sudah menjadi bubur. Hari-hari yang dilalui Hakimi bagaikan tiada berkompas dan tanpa arah. Dia merasakan hidupnya tanpa kerdipan sebutir bintang yang menyinar dan menjajahi kasihnya. Kemilauan lampu neon yang dipandang cantik itu rupa-rupanya bersifat sementara dan akhirnya sirna.
“Arghhh!!!” Hakimi terkedu. Jiwanya meronta ingin mengejar bayangan yang telah menghilang di ruang sirna, “Putarkan…putarkan…aku ingin kembali!” Jerit hati Hakimi. Kerinduan, keinsafan menyatu dalam dirinya.
Dengan hati yang penuh ragu Hakimi cuba mendail nombor telefon Zulaiha. Rasa malu yang menebal dihatinya tidak diendahkan. Kerinduannya pada wanita itu tidak dapat dibendung lagi. Saban waktu Hakimi disapa kenangan bersama Zulaiha. Hakimi teringat lagu Broery yang seringkali diputarkan Zulaiha..

Biarlah bulan bicara sendiri
Biarlah bintang kan menjadi saksi
Takkan kuulangi walau sampai akhir nanti
Cukup derita sampai di sini..

“Assalamualaikum ma..” hampir kelu lidah Hakimi setelah sekian lama tidak menghubungi Zulaiha.
“Waalaikumsalam..ba sihat..” lembut suara Zulaiha kedengaran.
Memang sukar untuk mengubah panggilan yang telah meniti di bibir sejak 15 tahun bersama. Tetapi masih adakah sendu itu? Hakimi masih mengharap kepingan kasih Zulaiha tersisa untuknya.
“Emmm..anak-anak sihat ma?” Hakimi bersuara.
Sukar untuk Hakimi meluahkan rasa hati. Ingin rasanya mendakap Zulaiha ke bahu ketika ini dan memohon kemaafan tidak terhingga daripadanya. Dulu ketika berduka, Zulaiha pasti akan membelai wajahnya dan memberikan kata-kata kekuatan. Kerinduan Hakimi pada saat itu cukup menyeksa hati dan membusutkan penyesalannya.
“Ya ba, anak-anak sihat. Semuanya sedang tidur. Ada apa ba.” Suara yang dirinduinya itu kedengaran lagi.
“Ma buat apa?” tanya Hakimi yang cuba mencari kekuatan untuk menyatakan kerinduannya pada Zulaiha.
“Ma tengah pegang gagang telefonlah.” Kata Zulaiha bersulam lucu dan ketawa lembut.
Hakimi merindukan suara tawa itu. Dahulu Zulaiha sentiasa menghiburkan hatinya, tetapi kini Hakimi tidak lagi dapat membendung air mata penyesalannya. Betapa seksanya kasih dan kerinduan ini.
“Ma..ba sangat merindui ma..ba ingin kembali..kembali pada kehidupan kita yang lalu..” akhirnya terluah juga rindu dan penyesalan Hakimi.
“Ba..” Suara Zulaiha terhenti, “Ba..tak mungkin lagi..itu tak mungkin…maafkan ma..” kata lembut Zulaiha terasa seperti petir menghukum Hakimi.
Telefon bimbit dalam genggaman Hakimi kemudian sunyi sepi. Hakimi menekapkan wajahnya ke lutut. Pertama kali dalam hidupnya, dia menangis sepenuh penyesalan dalam menggarap cintanya. Hakimi berasa lemah dan longlai tidak bertongkat. Hakimi sedar, Zulaiha sudah memperolehi kekuatannya. Hakimi teringat nota terakhir Zulaiha sebelum meninggalkan rumah..

            Cinta yang berakhir
cermin kaca pecah,
            Berderai menyerpih,
            tanpa pamit lagi.



TAMAT


Klik Sini